PEREMPUAN PALAT .


Perempuan palat…
dulu aku.
Hari ini,
perempuan-perempuan palat hari ini,
cara mereka berfikir di hujung kuku aku.
Perempuan palat…
hadir dalam pelbagai rupa.
Rupa mangsa, rupa pemangsa.
Pencuci minda, pemanipulasi rasa.
Mengikat namun tidak pernah diikat.
Perempuan palat…
dicintai dua/tiga lelaki;
memboneka dua/tiga lelaki.
Perempuan tidak palat…
disayangi dua/tiga lelaki;
mengasihi sifar/satu lelaki.
Perempuan palat…
Lagi dia angkuh, lagi kau lapar.
Lagi kau lapar, lagi kau kejar.
Lagi kau kejar, lagi dia membodoh.
Lagi dia membodoh, lagi dia angkuh.
Perempuan palat…
bahagia didamba-damba dirayu-rayu,
gembira dinanti-nanti ditunggu-tunggu.
Meletak rantai anjing pada perasaan,
menyeret hingga kebas tanpa kesan.
Perempuan palat…
Aduhai lelaki, bisik naluri pertama kau sudah betul.
Aku sedih, aku tak patut dibuat gini, terlalu selalu aku dibuat gini.
Tapi hati perempuan palat lebih kecil, lebih sejuk dari ais ketul.
Senyum tangisnya bikin kau psiko diri; kau ludah bisik naluri tadi.
Perempuan palat…
Dia rendahkan harga engkau hingga engkau ikut rendahkan harga engkau dan engkau tidak sedar pun dia rendahkan harga engkau atau engkau rendahkan harga engkau malah engkau percaya harga engkau memang rendah dan harga dia memang tinggi.
Perempuan palat…
Sekali kau dijentik tentang dia, sejuta mahkamah kau membela.
Berkeras bahawa kau punya otak sambil hujah kau menggagak.
Walhal tiap saja nama dia titip di bibir kau,
mata kau menjelas isi jiwa; kau menggagau.
Perempuan palat…
Untuk yang sanggup dan kuat.
Untuk penjinjit risiko yang berat.
Bukan lagi salah dia jika kau pilih untuk buta;
silap kau cebik pada petunjuk-petunjuk ketara!
Perempuan palat…
yang ayu, yang bertatu,
yang lembut, yang dedah perut- -
tetap manusia dengan ajal jodohnya rahsia,
tetap dilahir untuk satu hari hidup bersama.
Perempuan palat…
untuk lelaki murah.
Lelaki murah…
nilai dirinya parah.